Skip to main content
Press

MIER saran rombak subsidi bahan api, turunkan SST

By April 16, 2026April 22nd, 2026No Comments

Penentukuran semula subsidi bahan api negara membantu perniagaan berdepan tekanan kos – NSTP/AHMAD UKASYAH

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menggesa penentukuran semula subsidi bahan api negara bagi membantu perniagaan berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Cadangan itu termasuk pengurangan subsidi RON95 secara berperingkat, dengan penjimatan disalurkan untuk mengurangkan kos diesel bagi perniagaan yang kini berdepan peningkatan kos operasi.

Selain itu, MIER turut mencadangkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikurangkan kepada 5.0 peratus bagi tempoh dua tahun, kecuali bagi minuman keras, rokok dan perjudian, bagi meredakan tekanan kos terhadap pengguna dan perniagaan.

Menurut MIER, saranan berkenaan dibuat dalam konteks tekanan ekonomi susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijangka memberi kesan dalam tempoh terdekat.

MIER berkata, walaupun impak langsung konflik masih belum dimanifestasikan sepenuhnya, kesannya dijangka akan muncul dalam masa terdekat dan memberi tekanan kepada prestasi perniagaan.

“Jangkaan utama adalah kos logistik dan harga input akan meningkat, yang seterusnya akan cepat diterjemahkan kepada peningkatan kos sara hidup,” demikian menurut MIER.

MIER menambah, tekanan berkenaan dijangka menjejaskan prestasi perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam sesi perundingan bersama peserta industri, perniagaan, agensi berkaitan kerajaan, sektor kewangan, dewan perniagaan serta organisasi masyarakat sivil, beberapa kejadian terpencil turut dilaporkan.

Ini termasuk kekurangan bekalan bahan api di stesen minyak serta penutupan beberapa syarikat pembinaan yang mencerminkan kesan lebih meluas terhadap ekonomi.

MIER memaklumkan sektor pertanian, percetakan, perkhidmatan makanan dan perusahaan berskala kecil dijangka antara yang paling terjejas.

Sebahagian perniagaan dalam sektor berkenaan dilaporkan sudah mula merasai kesan daripada perkembangan semasa itu.

Dalam masa sama, isu keselamatan makanan turut dibangkitkan termasuk kebimbangan terhadap kekurangan baja dan peningkatan harga diesel bagi jentera pertanian.

Keadaan kemarau yang berlaku di Kedah juga dilihat berpotensi menambah tekanan terhadap pengeluaran makanan domestik.

Menurut MIER, faktor berkenaan boleh mengganggu rantaian bekalan makanan serta menjejaskan tahap sara diri makanan negara.

MIER turut menjelaskan konflik itu telah mengganggu laluan perdagangan utama bagi eksport baja dari Russia, manakala China pula melaksanakan larangan eksport baja.

Russia dan China adalah dua pengeksport baja terbesar ke Malaysia, dengan gabungan sumbangan melebihi 45 peratus daripada jumlah import pada 2024.

Dalam konteks itu, MIER menekankan keperluan untuk memperkukuh pengeluaran makanan domestik dalam keadaan hasil yang menurun dan bekalan baja yang terhad.

Peserta dalam sesi perundingan turut berpandangan konflik berpanjangan berpotensi meningkatkan risiko ketidaksolvenan, kebankrapan dan kegagalan perniagaan dalam sektor terdedah.

Oleh Mohd Zaky Zainuddin