Skip to main content
Press

Konflik AS-Iran jejas perniagaan dalam 2-3 bulan ini, PKS berdepan risiko gulung tikar

By April 17, 2026April 23rd, 2026No Comments

KUALA LUMPUR 17 April – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan impak daripada konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran akan menjejaskan prestasi perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jangkaan utama ialah kos logistik dan harga input akan “meningkat secara tidak dapat dielakkan”, yang seterusnya akan “segera tercermin dalam kos sara hidup”, kata MIER dalam satu kenyataan.

Menurut MIER, sektor seperti pertanian, percetakan, perkhidmatan makanan dan perusahaan berskala kecil berkemungkinan terjejas teruk, dengan sebahagian perniagaan sudah mula merasai kesannya.

“Implikasi turut dibangkitkan berkaitan keselamatan makanan, termasuk kebimbangan terhadap kekurangan baja, kenaikan harga diesel bagi jentera pertanian, serta keadaan kemarau terkini di Kedah.

“Faktor-faktor ini boleh menyumbang kepada gangguan rantaian bekalan makanan dan menjejaskan tahap sara diri makanan negara,” katanya.

Konflik itu menurut MIER, telah mengganggu laluan perdagangan utama bagi eksport baja Rusia, manakala China pula melaksanakan larangan eksport baja, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap prospek kos baja.

Rusia dan China merupakan dua pengeksport terbesar baja ke Malaysia, dengan kedua-duanya menyumbang lebih 45% daripada jumlah import pada 2024.

“Dalam konteks ini, terdapat keperluan untuk memperkukuh pengeluaran makanan domestik, khususnya ketika hasil pengeluaran merosot, cuaca kering berpanjangan dan bekalan baja yang terhad,” kata MIER.

RISIKO KEGAGALAN PERNIAGAAN
Dalam sesı libat urus bersama industri dan perniagaan, MIER berkata para peserta secara umumnya bersetuju bahawa konflik berpanjangan boleh meningkatkan risiko insolvensi, kebankrapan dan kegagalan perniagaan dalam sektor yang terdedah.

Turut dicadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan lebih awal dan proaktif bagi mengurus risiko berkenaan sekiranya keadaan ekonomi terus merosot.

Berhubung pembiayaan, MIER berkata skim pembiayaan mikro serta bantuan kepada PKS sememangnya tersedia.

MIER turut memaklumkan, sistem perbankan telah memperkenalkan program bantuan pembayaran balik bersasar bagi menyokong perniagaan berdaya maju yang berdepan kesukaran kewangan sementara.

“Selain itu, agensi berkaitan dan sektor kewangan menyatakan mereka sedang memantau secara aktif tanda-tanda tekanan portfolio, berdasarkan pengalaman krisis lalu termasuk pandemik COVID-19,” katanya.

Namun begitu, MIER berkata akses kepada maklumat dan program sokongan masih “berpecah-belah dan terhad”.

Meneliti intervensi pembiayaan berkaitan krisis sebelum ini, MIER berkata peruntukan besar tidak semestinya sampai secara berkesan kepada kategori tertentu PKS.

“Sehubungan itu, dicadangkan supaya maklumat berkaitan dapat disalurkan dengan lebih baik melalui badan perniagaan dan persatuan bagi meningkatkan aksesibiliti kepada perusahaan yang terjejas,” kata MIER. – DagangNews.com

Oleh JOHARDY IBRAHIM

editor@dagangnews.com