
KUALA LUMPUR: Sempena pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) esok, BH dengan kerjasama NST akan menyiarkan bual bicara khas bagi mengupas secara mendalam intipati dan implikasi RMK13 terhadap ekonomi negara, dunia perniagaan dan rakyat.
Siaran langsung bual bicara Kupasan RMK13 akan berlangsung pada Khamis, 31 Julai 2025 bermula jam 11:30 pagi dengan menampilkan dua tokoh terkemuka dalam bidang ekonomi dan dasar awam negara, iaitu bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Profesor Adjung di Institut Dasar Awam & Pengurusan Antarabangsa Universiti Malaya, Tan Sri Sulaiman Mahbob serta Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Afzanizam Abdul Rashid.
Perbincangan akan menyoroti hala tuju ekonomi negara di bawah pelan pembangunan lima tahun terbaharu itu, termasuk kesannya terhadap sektor swasta, daya saing pelaburan, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Bual Bicara Khas ini akan disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube rasmi BH, NST dan Harian Metro.
Pembaca BH dijemput untuk menyaksikan siaran ini dan menyertai perbincangan penting yang bakal memberi pencerahan terhadap dasar pembangunan negara menjelang tahun-tahun mendatang.