
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pelan pembangunan lima tahun negara yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), sasaran pertumbuhan ekonomi sehingga 5.5 peratus mampu dicapai menerusi kerjasama jitu antara sektor swasta dan kerajaan.
Pengerusi MIER, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, rancangan yang dirangka setiap lima tahun itu akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dalam tempoh berkenaan.
“Peruntukan itu akan dibahagi dalam setiap belanjawan negara. Tahun depan projek apa sampai habis tapi jika ada peluang perbaiki projek-projek itu apabila didapati terdapat keadaan ekonomi berbeza maka perancangan akan diperbaiki,” katanya kepada Buletin TV3.
Jelas beliau, terdapat fleksibiliti dalam perancangan di mana kadangkala beberapa projek digugurkan dan projek baharu dimasukkan apabila keadaan memerlukan.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, RMK13 yang menjadi sebahagian daripada belanjawan negara adalah agenda yang perlu diterapkan dalam setiap belanjawan tahunan bagi memenuhi aspirasi kerajaan.
Menurutnya, setiap tahun belanjawan negara merangkumi dua komponen utama iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.
“Dalam kerangka Rancangan Malaysia yang ke-13 (RMK13) ini, kalau dalam konteks belanjawan, perbelanjaan pembangunanlah yang akan mewarnai bagaimana belanjawan bagi sesuatu tahun itu dibentuk,” katanya kepada Buletin TV3.
Berdepan cabaran geo-politik, katanya, strategi kerajaan untuk memangkin permintaan domestik melalui perbelanjaan pembangunan berjumlah RM430 bilion disifatkan sebagai langkah tepat.
Dalam pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menjayakan rancangan lima tahun itu, pelaburan berjumlah RM611 bilion diperlukan.
Menurut beliau, kerajaan akan menyediakan dana sebanyak RM430 bilion bagi RMK13.
Manakala, sebanyak RM120 bilion pula akan dibiayai oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Sokongan sektor swasta pula dijangka melalui kaedah perkongsian awam-swasta (PPP) dengan anggaran pelaburan sebanyak RM61 bilion.