Skip to main content
Press

RMK13 sampaikan mesej jelas Malaysia jadi negara pendapatan tinggi – Ahli ekonomi

By July 31, 2025August 4th, 2025No Comments
Dari kiri: Sulaiman, Mohd Afzanizam, Kamarulzaidi dan Muhammed pada program bual bicara khas Kupasan RMK13 yang disiar secara langsung melalui Facebook dan Youtube Berita Harian Online – NSTP/ROHANIS SHUKRI

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) banyak memberi penekanan terhadap penciptaan nilai dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Profesor Adjung Institut Pengajian Pengurusan dan Pentadbiran Awam (INPUMA), Universiti Malaya, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata mesej utama disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah jelas, iaitu memfokuskan kepada nilai-nilai ekonomi yang boleh merangsang pertumbuhan serta memperkukuh sumber yang sedia ada.

“Mesej yang kuat daripada Perdana Menteri adalah penciptaan dan pelaksanaan nilai, nilai-nilai yang boleh meningkatkan ekonomi, mengukuhkan sumber-sumber pertumbuhan yang ada serta peningkatan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara khas Kupasan RMK13 yang disiar secara langsung melalui Facebook dan Youtube Berita Harian Online.

Program itu turut menampilkan Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Afzanizam Abdul Rashid, sebagai panel dan dikendalikan oleh Pengarang Berita Ekonomi BH, Kamarulzaidi Kamis bersama Pengarang Berita Ekonomi NST, Muhammed Ahmad Hamdan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, RMK13 adalah pelengkap kepada rancangan pembangunan sebelum ini, dengan meliputi pelbagai sektor dan bidang tumpuan baharu negara.

“RMK13 merangkumi pelbagai aspek termasuk soal modal insan, meningkatkan latihan dan kemahiran, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aspek-aspek persekitaran serta alam sekitar. Ia juga mengukuhkan falsafah Ekonomi MADANI,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan kerajaan serius dalam usaha membawa ekonomi ke tahap lebih tinggi apabila meningkatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan secara drastik dalam RMK13.

Beliau berkata, kerajaan terus menekankan keperluan negara untuk naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

“Peruntukan perbelanjaan pembangunan dinaikkan daripada RM200 bilion dalam RMK12 kepada RM430 bilion dalam RMK13,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, langkah itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menyediakan dana besar untuk pelaburan masa depan negara.

Beliau berkata, ia adakal satu jumlah yang besar sekitar RM86 bilion setahun.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pula akan menyumbang RM120 bilion manakala sektor swasta menerusi mekanisme perkongsian awam-swasta (PPP) pula menyumbang RM61 bilion.

“Secara keseluruhan, kita melihat pelaburan sekitar RM611 bilion,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, jumlah pelaburan itu cukup signifikan dan mampu mencetuskan permulaan kepada perjalanan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang penghujung dekad ini.

“Ini memang selari dengan jangkaan kerajaan akan naikkan perbelanjaan pembangunan,” katanya.