Skip to main content
Press

Tingkat peranan dalam industri semikonduktor – MIER

By December 15, 2023December 18th, 2023No Comments

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar memainkan peranan lebih aktif dalam eksport cip semikonduktor dalam usaha melungsuri aliran kenaikan ekonomi untuk tempoh seterusnya, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

MIER berkata, ini kerana negara sudah mempunyai rekod yang cemerlang dalam sektor semikonduktor global dan antara sektor pembuatan yang sudah lama bertapak di Malaysia.

Malah Malaysia juga berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi pusat pengeluaran dan eksport cip utama dunia.

“Malaysia harus mengembangkan keupayaannya dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

MIER berkata, selain itu negara disaran dapat membina rantaian bekalan global yang lebih berdaya tahan.

Katanya, MIER sangat mencadangkan bahawa ia adalah perlu untuk menambah baik rangkaian rantaian bekalan makanan, memandangkan kebergantungan Malaysia terhadap import makanan.

Selain itu, adalah penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke arah digital pada kadar segera bagi menjadikannya kalis masa hadapan dan terus berjaya.

PKS katanya memerlukan bantuan kerana mereka bersaing dalam industri dengan syarikat telekomunikasi yang besar.

“Malaysia perlu membina ekosistem bersepadu dan menambah baik kesalinghubungan negara ke negara.

“MIER juga tidak ragu-ragu bahawa kecergasan buatan (AI) adalah trend yang mengubah landskap dan perlu diterima oleh Malaysia selain dasar mengutamakan awan.

“Ketelusan data dan tadbir urus data turut harus diambil dengan serius. Aplikasi AI harus dipertimbangkan secara proaktif dalam penjagaan kesihatan, alam sekitar,” katanya.

Bagi menetapkan semula ekonomi Malaysia, MIER berkata adalah dicadangkan agar AI diusahakan secara agresif, dengan tumpuan kepada bergerak melangkaui dasar konvensional untuk mencipta rangka kerja tangkas.

Pembangunan ekonomi katanya bergantung kepada kejayaan kerajaan dalam mencipta peti keselamatan dan persekitaran yang selamat untuk semua rakyat.

Perlindungan sosial katanya mesti dirangka bukan sahaja sebagai dasar tetapi sebagai rangka kerja yang komprehensif.

Katanya, terdapat keperluan mendesak bagi kerajaan untuk memperkenalkan sistem perlindungan sosial berasaskan kitaran hayat, menyediakan perlindungan yang mencukupi dari awal hingga akhir.

“MIER mencadangkan bahawa terdapat peralihan daripada bantuan sosial kepada insurans sosial dan ekosistem tiga lapis yang membabitkan institusi swasta, insurans sosial dan bantuan sosial.

“Kami menekankan kepentingan sistem perlindungan sosial bersepadu yang komprehensif, dengan penggunaan teknologi yang sesuai dan lindung nilai inflasi.

“MIER menekankan bahawa kerajaan perlu menilai semula sistem perlindungan sosial kita dan membina semula sistem tersebut dengan berkesan,” katanya.

This article first appeared in BH Online on Thursday, Disember 14, 2023