Skip to main content
Press

Amanah kawal sempadan penentu keberkesanan banteras penyeludupan, kata pakar

Penasihat Undang-undang UKM Salawati Mat Basir berkata peruntukan undang-undang sedia ada dilihat memadai untuk menangani ketirisan mungkin berlaku.

Pakar berkata sejauh mana penyeludupan mampu dikekang bergantung kepada amanah pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Amanah menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan keselamatan untuk menjaga sempadan negara menjadi penentu keberkesanan langkah kerajaan menangani aktiviti penyeludupan, kata pakar.

Penasihat Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Salawati Mat Basir, berkata peruntukan undang-undang sedia ada dilihat memadai untuk menangani ketirisan mungkin berlaku.

“Malaysia sudah penuh undang-undang dan hampir lengkap semuanya. Cuma kita perlu lihat sejauh mana amanah pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara, serta sejauh mana maklumat dan alat tercanggih dibekalkan untuk mengatasi masalah penyeludupan itu.

“Sejauh mana kita boleh mengekang keselamatan sempadan kita,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kesan lebih ketara apabila wujudnya ‘tambahan’ penjualan produk ke luar negara selaras dasar rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan, justeru amat penting untuk mengawal sempadan dengan baik.

Pada 24 April lalu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan memaklumkan butiran mengenai pelan rasionalisasi subsidi termasuk kriteria dan implikasinya tidak lama lagi.

Katanya, penjimatan itu boleh dialihkan kepada bantuan sosial yang berpotensi meningkatkan pengurangan kemiskinan selain menjana penjimatan fiskal, jika dasar rasionalisasi subsidi kerajaan berjaya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Katanya, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel terlalu murah.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Shankaran Nambiar, berkata kerajaan akan menjamin masa yang mencukupi diberikan kepada pelancaran pelan rasionalisasi subsidi secara penuh, di sebalik ukuran ‘manfaat’ bakal diterima.

Katanya, ini kerana dasar itu penting maka semua mekanisme perlu dirancang dengan betul selaras pertimbangan wajar yang dibuat.

“Sokongan orang ramai perlu jika tidak mahu ada bantahan atau ketidakpuasan hati. Kerajaan tidak mampu menanggung ‘pembalikan’ dasar. Maka masa adalah penting untuk memastikan ia dilaksanakan dengan baik,” katanya.