Kelantan harus melihat melangkaui perlombongan REE jika mahu memesatkan ekonomi, kata pakar ekonomi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pakar ekonomi menyarankan kerajaan Kelantan tumpu pada kegiatan ekonomi yang memberi lebih nilai tambah dan menjana lebih banyak kesan berganda, berbanding perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata Kelantan harus melihat melangkaui perlombongan REE jika mahu memesatkan ekonomi.
“Meskipun kerajaan negeri ingin meneroka pertanian, ia juga harus melihat kepada pertanian berintensifkan teknologi,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata negeri itu berpeluang menjadi kaya kerana terdapat banyak REE.
Beliau bagaimanapun berkata pengurusan dan dasar perlombongan REE bernilai hampir RM125 bilion perlu diperkemaskan untuk memberi banyak kelebihan kepada negeri itu.
November lalu, bekas menteri tenaga dan sumber Asli Takiyuddin Hassan dipetik berkata tiga daerah dikenal pasti mempunyai potensi REE iaitu Tanah Merah, Gua Musang, dan Jeli.
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway menyarankan kerajaan Kelantan tumpu pada usaha membangunkan eko-pelancongan dan perindustrian, yang akan dibawa melalui Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Beliau menggesa kerajaan Kelantan memanfaatkan ketersambungan rel menerusi ECRL bagi menarik lebih banyak pelabur tempatan dan asing dalam usaha merancakkan pembangunan.
“Kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam pengekstrakan sumber memandangkan potensi impaknya terhadap alam sekitar. Ia berkemungkinan menambah lagi masalah yang disebabkan penebangan hutan dan pembalakan secara berlebihan,” katanya kepada FMT.
Projek ECRL di Kelantan dijangka siap dalam tempoh enam bulan lebih awal daripada Jan 2027 dalam jadual asal, menurut Jabatan Kerja Raya. Kemajuan jajaran di Kelantan ketika ini sudah mencecah 61.97%, lapor Utusan Malaysia.
Menghubungkan Kelantan dengan Terengganu, Pahang, dan Selangor, laluan 665 kilometer itu, dijangka beroperasi pada Jan 2027.
The article was originally published at
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/23/lombong-ree-mungkin-tambah-masalah-tumpu-aktiviti-kesan-berganda-pakar-nasihat-kelantan/