Skip to main content
NewsPress

MIDA, MIER bekerjasama perkukuh iklim pelaburan Malaysia

By September 19, 2024September 20th, 2024No Comments

(Dari kiri) Thian Lai, Sikh Shamsul Ibrahim, Dass dan Sulaiman pada majlis memeterai MOA antara MIDA dan MIER di Kuala Lumpur, hari ini – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan iklim ekonomi dan pelaburan Malaysia dipacu data penyelidikan, analisis dan kerjasama.

Kedua-dua pihak telah bertukar memorandum perjanjian (MOA) hari ini dengan MIDA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan MIER pula oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Anthony Dass.

Pertukaran MOA itu disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah MIDA, Tan Sri Soh Thian Lai dan Ahli Lembaga Pengarah MIER, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Kerjasama itu menandakan yang pertama seumpamanya antara MIDA dan MIER, menggabungkan kepakaran masing-masing dalam promosi pelaburan dan penyelidikan ekonomi untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan di Malaysia.

Mengulas MOA itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata, kerjasama strategik itu adalah satu langkah besar ke hadapan dalam misi untuk meningkatkan landskap ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, dengan menyepadukan pengalaman luas MIDA dalam fasilitasi pelaburan dengan penyelidikan ekonomi komprehensif MIER, pihaknya bersedia untuk memupuk lebih banyak lagi persekitaran pelaburan yang kompetitif dan berdaya tahan.

“Usaha bersama kami akan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan memanfaatkan cerapan dipacu data untuk menarik dan mengekalkan pelabur domestik dan asing.

“MOA ini sejajar dengan objektif strategik kami di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan mencerminkan komitmen kami untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di persada global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran MOA antara MIDA dan MIER serta pelancaran Laporan Tinjauan Keadaan Perniagaan Bulanan MIDA-MIER, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas kerjasama itu, Dass berkata, kerjasama MIER dengan MIDA akan memanfaatkan cerapan dipacu data yang akan menjadi panduan strategi pelaburan dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu bukan saja untuk mengemudi Malaysia dalam mengharungi cabaran global tetapi juga untuk merebut peluang yang muncul dan meningkatkan kedudukan global.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, MIDA dan MIER turut melancarkan Laporan Tinjauan Keadaan Perniagaan Bulanan MIDA-MIER, yang memberikan pandangan utama mengenai sektor pembuatan Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan pada Julai 2024, mendedahkan bahawa sektor itu dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, dengan lebih 70 peratus syarikat menyatakan keyakinan mengenai prospek jualan dan pengeluaran semasa dan masa hadapan.

Laporan itu, yang akan diterbitkan setiap bulan, akan memberikan pihak berkepentingan data masa nyata mengenai penunjuk utama ekonomi.

Ia akan disertakan dengan Ulasan Ekonomi Bulanan MIER, yang menawarkan analisis yang lebih luas mengenai trend ekonomi global dan domestik, meliputi pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah, bersama-sama dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dan prestasi ringgit.