Skip to main content
Press

Penarafan Malaysia berpotensi dinaikkan tahun hadapan – MIER

By August 25, 2024August 26th, 2024No Comments

Gambar fail. – AFP

KUALA LUMPUR: Agensi penarafan berdaulat antarabangsa dijangka menaikkan penarafan hutang bagi Malaysia pada tahun hadapan disokong beberapa faktor pemangkin yang kukuh, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Dalam ulasan ekonomi bulanan bagi Julai 2024, badan pemikir itu melihat kemungkinan penarafan BBB+ semasa yang diberikan Fitch Ratings dinaikkan kepada A-.

Ia juga menjangkakan penarafan oleh S&P dinaikkan kepada A daripada A- ketika ini.

“Pemangkin kepada potensi peningkatan (penarafan berdaulat) – pengukuhan fiskal berterusan, tadbir urus yang lebih baik, asas ekonomi dan kewangan awam yang kukuh termasuk nisbah hutang persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

MIER berkata, penilaian S&P terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah mampan dengan defisit yang mengecil disokong oleh keadaan pasaran buruh yang sihat dan pelaksanaan dasar gaji progresif.

Sementara fokus Fitch pula, katanya, ia berdasarkan kepelbagaian asas eksport, ekonomi yang kukuh dan lebihan akaun semasa yang kukuh memandangkan sebab utama untuk prospek yang stabil.

MIER berkata, permintaan untuk bon domestik bersedia untuk kekal kukuh pada separuh kedua 2024.

Selain kemungkinan pengurangan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), ia berkata, prospek ringgit yang lebih kukuh, pengukuhan asas makro domestik, hala tuju dasar yang jelas daripada rangka kerja MADANI, pengesahan semula penarafan kredit dengan pandangan ‘stabil’ daripada S&P dan Fitch akan terus menarik minat pelabur asing.

Mengenai prospek ekonomi 2024, MIER berkata, KDNK 2024 dijangka mencapai paras tinggi dalam julat sasaran antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

Malah, badan pemikir itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh melepasi sasaran 5.0 peratus berikutan sentimen positif seperti kestabilan politik semasa, asas makro, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan direalisasikan.

Katanya, perkhidmatan yang disokong permintaan domestik dan ketibaan pelancong, pembinaan/infrastruktur, eksport, pendapatan korporat, pasaran buruh, ringgit yang lebih kukuh, pembaharuan dan inisiatif di bawah pelan induk negara dan asas rendah juga menjadi pemacu utama di tengah-tengah ketidakpastian luaran yang berlarutan.

MIER berkata, permintaan dalam negeri pada 2024 diunjurkan berkembang sekitar 6.0 peratus, disokong perbelanjaan swasta (6.1 peratus) dan perbelanjaan awam (5.7 peratus).

Ia berkata, eksport dijangka berkembang 8.0 peratus dari tahun ke tahun.

Pertumbuhan juga akan disokong oleh perkhidmatan (5.3 peratus), pembuatan (4.1 peratus) dan pembinaan (12.8 peratus), sementara pertanian (3.7 peratus) dan perlombongan (2.8 peratus) akan melengkapkan pertumbuhan.